Monday, February 4, 2008

Carilah Ketenangan Hakiki


Setiap manusia mahu ataupun tidak pasti akan mengalami tekanan. Tekanan sentiasa ada baik di rumah, tempat kerja, tandas awam, taman permainan, kedai mamak dan dan dimana-mana yang sememangnya tidak dapat kita elak. Boleh dikatakan semua perkara yang ada di sekeliling kita boleh mendatangkan tekanan. Namun, yang lebih penting, walau sekuat dan segagah manapun tekanan itu, yang perlu kita lakukan adalah mengetahui apakah puncanya dan bagaimana cara mengatasi tekanan tersebut.

Hakikatnya, tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Tekanan dan cabaran itu seiring dan sejalan. Oleh itu, kita sebaik-baiknya harus bersedia untuk menghadapinya kerana pada bila-bila masa dan keadaan ia boleh datang. Ia datang tanpa memberi walau sepatah salam. Memang tidak dinafikan, kadang-kala tekanan hebat yang datang, sesetengahnya datang dari pelbagai bentuk dan sudut mampu membuatkan kita hampir kalah dengannya. Namun, kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan cuba fahami bahawa hidup ini kurang bermakna tanpa tekanan dan dugaan. Sudah tentu, ia akan menjadikan kita cekal, tabah dan bersemangat untuk menjalani kehidupan.
Harus diingat, setiap tekanan, dugaan dan cabaran yang berlaku itu sebenarnya banyak membantu mematangkan kita. Yang paling penting mesti selalu ingat bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Kita mesti jadi kuat. Bukan setakat kuat makan ayam goreng celup tepung, tapi mesti kuat dari segi rohani, mental dan fizikal. Belajar, belajar dan terus belajar menghadapi tekanan dan berusaha mengatasinya dengan baik. Kecemerlangan pasti milik kita!!